![]() |
A Samad Said,Seniman Negara. |
Beliau
menerima anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1986, manakala novel
beliau, Salina, telah diangkat sebagai salah satu karya agung dalam
dunia persuratan Malaysia.
Beliau
juga turut dianugerahkan dengan 'Anugerah
Penulis Asia Tenggara 1979'.
Bagaimanapun,
kebelakangan ini beliau lebih dikenali sebagai salah seorang tokoh utama gerakan Bersih, sebuah pakatan yang terdiri daripada beberapa NGO yang memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil.
Dalam
sebuah acara meraikan ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke-56, Pak
Samad membaca sebuah puisi sambil beberapa orang aktivis mengibarkan
Sang Saka, bendera yang diperkenalkan sebelum Merdeka.
Bendera
adalah simbol kenegaraan yang melambangkan suatu makna yang mendalam.
Maka,
tindakan mengibarkan bendera selain Jalur Gemilang sewaktu sambutan
Merdeka menandakan rasa tidak puas hati seseorang dengan keadaan
semasa dalam negara.
Strategi
protes yang sama telah digunakan misalnya oleh masyarakat Kaum Asal
dan Torres Strait Islander di Australia.
Sudah
tentu ada beberapa kelompok yang memiliki wawasan kenegaraan yang
berbeza-beza.
Tidak
mengejutkan juga apabila laporan polis dibuat terhadap
aktivis-aktivis terbabit.
Mereka
kemudiannya telah ditahan dan sedang disiasat atas tuduhan menghasut.
Beberapa
hari kemudian, pihak polis mendatangi rumah Pak Samad pada larut
malam dan membawa beliau ke balai.
Di
sana, beliau telah disoal-siasat sebelum dilepaskan pada awal pagi.
Polis mengumumkan bahawa beliau juga sedang disiasat atau tuduhan
menghasut.
Usia
Pak Samad sudah mencecah 81 tahun dan penampilannya benar-benar
seperti yang dibayangkan kebanyakan orang tentang seniman: kurus,
berwajah mendung dan berkaca mata, dengan rambut dan janggut putih
yang panjang.
Gambaran
sebegini tidak memihak kepada pihak berkuasa.
Media
sosial meledak dengan kemarahan orang ramai yang menganggap pihak
berkuasa telah bertindak keterlaluan.
Kontroversi
ini mengingatkan kita pada satu lagi babak penting dalam sejarah,
ketika seniman dan politik bertembung.
Dalam
respons terhadap rusuhan kaum tahun 1969, arwah Ibrahim Hussein yang
ketika itu adalah Seniman Residen di Universiti Malaya telah
menghasilkan sebuah karya berjudul 13 Mei.
Karya
tersebut menampilkan bendera Malaysia yang disapu dengan cat hitam di
atasnya.
Universiti
Malaya menuduh beliau mencemarkan bendera negara dan enggan
mempamerkan karya tersebut.
Ibrahim
merayu kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak yang
kemudiannya bersetuju untuk melihat karya tersebut.
Catan
itu dihantar ke pejabat Tun Razak di bawah kawalan polis. Beliau
mendengar penjelasan sang seniman dan kemudiannya telah membenarkan
catan itu dipamerkan secara terbuka.
Penglibatan
Pak Samad dalam gerakan Bersih telah menempatkannya di tengah-tengah
pergelutan politik dan sosial yang menyelubungi negara kita ini sejak
15 tahun lalu.
Meski
pun begitu, beliau kekal sebagai seorang seniman.
Beliau
telah membaca puisinya sewaktu demonstrasi dan dalam klip-klip video
online untuk mempromosi kebebasan dan persaudaraan.
Bagaimanapun,
pernyataan-pernyataan beliau berkenaan insiden Sang Saka menonjolkan
kemahiran beliau menggunakan bahasa dan perlambangan untuk
merangsang, mencabar dan membuat pendedahan.
Perang
mulut selepas penahanan beliau turut menyaksikan Perkasa menyeru agar
beliau memulangkan anugerah Sasterawan Negara.
Aktivis,
ahli politik pembangkang, malah menteri Umno seperti Datuk Nazri Aziz
dan Khairy Jamaluddin, telah bertekak atau mencabar Perkasa sepanjang
beberapa tahun lalu, namun respons Pak Samad singkat."Siapa
Perkasa?"
Ungkapan
singkat beliau turut menyiratkan satu tindakan. Kata-katanya
mengandungi suatu daya yang disebut dalam bidang kebahasaan sebagai
daya tindak, iaitu keupayaan sesuatu ungkapan untuk menghasilkan
tindakan sebenar jika kena pada tempat dan masanya.
Ucapan
beliau telah memainkan peranan menafikan keabsahan sebuah pertubuhan
dengan cara mempertikaikan kedudukan mereka untuk bersuara.
Begitu
juga apabila beliau mencabar kerajaan untuk melucutkan
kewarganegaraannya.
Walaupun
Pak Samad telah dikecam hebat oleh beberapa menteri dan NGO, belum
ada siapa yang menyarankan agar kewarganegaraan beliau dilucutkan.
Dengan itu, cabaran beliau itu membuatkan kita terfikir mengapa
persoalan atau ancaman tersebut tidak muncul.
Padahal
telah beberapa tuntutan dikemukakan agar kerajaan melucutkan
kewarganegaraan sebilangan aktivis bukan-Melayu, termasuk Datuk
Ambiga Sereenevasan yang bersama-sama Pak Samad mempengerusikan
Bersih.
Perkara
yang tersirat di sini ialah bahawa kewarganegaraan, sebagai perkara
yang dilindungi oleh perlembagaan, tidak menjadi hak yang tidak dapat
disangkal untuk sesetengah warga Malaysia.
Dalam
konteks ini, pemilihan kata oleh Pak Samad secara rencam mendedahkan
kemunafikan dan unsur perkauman yang mendorong sesetengah pihak untuk
mengancam warga Malaysia bukan-Melayu.
Ada
semacam satu muhasabah diri pada pengucapan Pak Samad, satu pengakuan
bahawa beliau tidak diancam dengan pelucutan kewarganegaraan kerana
latar kaum beliau dan semangat kebangsaan berasaskan perkauman
pertubuhan-pertubuhan seperti Perkasa.
Tindakan
beliau menawarkan diri untuk digugat oleh ancaman yang sama seperti
yang dikenakan terhadap warga Malaysia bukan-Melayu adalah satu
tindak solidariti.
Ucapan
yang berpengaruh dibuat oleh pengucap yang kedudukannya terpandang
dalam masyarakat.
Pak
Samad telah menempa nama sepanjang kerjayanya sebagai penulis,
menerusi peranannya dalam gerakan Bersih dan lantaran pendirian
tegasnya tentang isu-isu demokrasi dan kebebasan.
Insiden
Sang Saka menimbulkan kemarahan kerajaan terhadapnya, tetapi insiden
itu juga boleh dikatakan telah turut meningkatkan kedudukan beliau
secara moral di kalangan warga Malaysia dan barangkali juga di mata
masyarakat dunia.
Pada
sekitar masa yang sama Pak Samad menjadi bahan berita, Datin Paduka
Shuhaimi Baba, seorang pengarah filem yang dihormati, terjerat dalam
kontroversi berikutan filem arahan beliau, Tanda Putera.
![]() |
Suhaimi Baba,pengarah filem kontroversi Tanda Putera |
Sebahagian
orang menuduh filem tersebut menampilkan gambaran berat sebelah
tentang rusuhan kaum tahun 1969. Sudah tentu tidak adil untuk menilai
sesuatu filem semata-mata berasaskan beberapa sedutan.
Bagaimanapun,
orang ramai semakin merasa curiga apabila sekeping gambar pemimpin
DAP, Lim Kit Siang, sedang diberkas telah dimuatkan dalam laman
Facebook Tanda Putera.
Keterangan
gambar tersebut membayangkan seolah-olah beliau telah kencing pada
tiang bendera di kediaman Menteri Besar Selangor pada tahun 1969.
Insiden
kencing di tiang bendera itu, yang belum terbukti pernah berlaku,
telah menimbulkan lagi kemarahan. Nota: Pemilik rasmi laman Facebook
Tanda Putera, Pesona Pictures Sdn Bhd, telah pun memohon maaf kepada
Penasihat DAP, Lim Kit Siang kerana mengaitkan beliau dengan adegan
membuang air kecil dalam filem berkenaan.)
Malangnya,
Shuhaimi telah menyumbat gol sendiri apabila beliau mendakwa bahawa
filemnya dibuat berasaskan fakta dan kajian yang teliti.
Beliau
yang pernah memenangi beberapa anugerah dalam dan luar negeri telah
dituduh menjadi juru propaganda kerajaan dan cuba menimbulkan
ketegangan kaum.
Bagaimanapun,
ada juga golongan dalam masyarakat, terutama Perkasa, yang lantang
menyokong beliau dan filemnya.
Pak
Samad tampak berjaya mengawal sepenuhnya kata-kata beliau, sedangkan
Shuhaimi beberapa kali berbolak-balik kata-katanya.
Ketika
Tanda Putera mula ditayangkan bulan lepas, Shuhaimi membatalkan
dakwaannya sebelum itu yang menyebut filem beliau berlandaskan fakta.
Sebaliknya
beliau menegaskan bahawa filem tersebut adalah berkenaan persahabatan
antara dua tokoh besar dalam sejarah Malaysia, iaitu Tun Abdul Razak
dan Tun Dr Ismail, berlatarbelakangkan rusuhan kaum Mei 1969.
Rayuan
beliau kepada orang ramai untuk memberikan peluang kepada filemnya
tidak dipedulikan.
Sesetengah
orang bersikap keras. Pengarah tersebut telah menerima ancaman bunuh
dan banyak kecaman dalam dunia siber.
Beberapa
warga siber telah menggunakan beberapa keping gambar yang belum
disunting dari laman Facebook Tanda Putera untuk menunjukkan bahawa
filem berkenaan telah dibikin secara cincai.
Keterangan
gambar pada foto Lim Kit Siang yang dimuatkan dalam laman berkenaan
dulu tidak benar, namun begitu juga dakwaan bahawa filem ini dibuat
secara cincai.
Ya,
memang ini satu karma, tetapi benang yang basah tidak boleh
ditegakkan.
Lebih
menggusarkan kita adalah percubaan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk
menghalang penayangan Tanda Putera di negeri beliau.
Kita
tertanya-tanya tentang komitmen Lim Guan Eng terhadap demokrasi dan
kebebasan berkarya jika tindak balas beliau terhadap filem yang tidak
disukainya ialah dengan mengharamkan tayangannya.
Kebanyakan
sarjana melihat rusuhan terbabit bukan bersifat perkauman, sebaliknya
disebabkan oleh politik.
Bagaimanapun,
selama hampir 40 tahun rusuhan tersebut telah digunakan sebagai puaka
untuk menakut-nakutkan rakyat.
Rakyat
Malaysia kebanyakan dibuatkan percaya bahawa Rusuhan 1969 terjadi
kerana keseimbangan hubungan antara kaum telah diganggu dan tragedi
itu boleh berulang pada bila-bila masa saja jika keseimbangan
tersebut sekali lagi diganggu.
Cara
Tanda Putera menggambarkan punca rusuhan mungkin sukar diterima
kerana ia mengabaikan nuansa politik dan sosial di zaman berkenaan
dan mengambil jalan mudah dengan turut serta dalam tuding-menuding
bersifat perkauman.
Bagaimanapun,
ia memaparkan salah satu daripada sekian banyak versi cerita tentang
rusuhan tersebut yang sedang tersebar.
Bagi
saya, Shuhaimi Baba tidak semata-mata menjadi juru propaganda
kerajaan dalam membikin filem ini.
Sebaliknya,
filem beliau mencerminkan sudut pandangnya sendiri tentang rusuhan
berkenaan–sudut pandang yang juga dikongsi oleh kerajaan.
Ini
adalah hegemoni. Memang ada perbezaan halus di sana. Tetapi perbezaan
itu penting kerana sebagai sebuah masyarakat, kita mesti memberikan
kebebasan untuk seniman kita menjelmakan pelbagai cerminan bagi
negara, walaupun gambaran yang dijelmakan itu sama sekali tidak dapat
kita terima.
Lagi
pun, ribut Tanda Putera dari beberapa sudut telah membuahkan hasil.
Walaupun
amaran sering diberikan agar kepekaan kaum tidak diusik, pengaliran
idea, pendapat, dan kilas-pendapat secara bebas yang dicetuskan filem
ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu berbahas dalam ruang
awam dengan cara yang tangkas, mencabar dan provokatif tanpa
terjerumus dalam keganasan.
Malah,
kerusi kosong di pawagam sepanjang tayangan Tanda Putera membuktikan
suatu hal yang lebih jelas daripada yang mampu diungkapkan dengan
kata-kata.
Dua
insiden yang disebutkan di atas melambangkan dua jenis persentuhan
berbeza antara seniman dan kekuatan sosial, politik dan kesejarahan
dalam negara ini.
Di
awal masing-masing kontroversi, kedua-dua mereka adalah seniman
senior yang telah membuktikan diri dalam bidang yang mereka pilih.
Kedua-dua
mereka memiliki gengsi dan modal simbolik tersendiri dan telah
menerima pengiktirafan negara.
Keselarian
ideologi antara Tanda Putera dan kerajaan telah membolehkan Shuhaimi
menikmati sedikit keistimewaan dan perlindungan selama kontroversi
berlangsung.
Filemnya
tidak diharamkan, seperti yang misalnya terjadi pada karya Amir
Muhamad, Lelaki Komunis Terakhir.
Bagaimanapun,
ia dikecam banyak pihak dalam masyarakat. Kita berharap sang pengarah
akan terus membikin filem, tetapi barangkali dengan memberikan lebih
perhatian terhadap cara bagaimana bentukan ideologi mampu membayangi
seni.
Pak
Samad pula, sebaliknya, mendapat tekanan daripada kerajaan dan para
penyokong kerajaan.
Maruah,
seni, dan keteguhan moral beliau telah meningkatkan simpati orang
ramai terhadapnya dan meningkatkan kedudukannya dalam negara ini.
Barangkali
beliau sedang mula menjadi seorang pahlawan simbolik seperti Vaclav
Havel dan Pramoedya Ananta Toer.
Lebih
penting, beliau memberikan kita harapan bahawa golongan seniman akan
terus mencabar dan mengubah negara ini ke arah yang lebih baik.
Sumber:Mstar
Penulis:Kathy
Rowland
0 comments :
Post a Comment